Friday, October 15, 2010

JiHaD sEbEnaR

Sesungguhnya jihad adalah merupakan kemuncak di dalam dakwah Islamiah. Perjuangan para Rasul s.a.w dan para sahabat dipenuhi dengan jihad. Bermula daripada jihad hawa nafsu, berdakwah sehingga membawa kepada peperangan memerangi para musyrik dan kuffar.


Jihad pada bahasa ditakrifkan sebagai berjuang habis-habisan untuk mencapai sesuatu matlamat. Islam memilih jihad dan bukan "harb" (peperangan), walaupun mempunyai makna yang lebih kurang iaitu bermotifkan perjuangan tetapi "harb" lebih kepada perjuangan untuk sesuatu bangsa atau negara. Manakala jihad adalah perjuangan suci untuk kepentingan umat manusia sejagat dan mempunyai makna yang menyeluruh. Kesimpulannya Jihad itu lebih bersifat mencapai satu perubahan. Segala usaha dan tindak tanduk digabungkan ke dalam satu perubahan. Keluasan maknanya menjangkau dari perjuangan individu hingga kepada kenegaraan, dari melawan hawa nafsu hinggalah kepada peperangan melawan musuh di medan pertempuran. 

Di dalam memperjuangkan Islam, satu-satunya arah yang akan ditujui ialah Jihad fi Sabilillah. Segala niat, tujuan dan gerak geri dihalakan untuk menegakkan agama Allah yang maha suci ini. Telah diriwayatkan oleh Abu Musa r.a, seseorang datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w : "Seseorang berperang untuk mendapatkan harta rampasan perang, yang lain berperang untuk mencari kemasyhuran dan yang ketiga berperang untuk menunujuk-nunjuk, maka siapakah yang berperang di jalan Allah? Rasulullah s.a.w menjawab : Sesiapa yang berperang agar kalimah Allah menjadi agung, dialah yang berperang di jalan Allah." -Riwayat Bukhari- 

Perjuangan di jalan Allah ialah berjuang menegakkan hukum Allah di dalam kehidupan manusia dan menjadikan undang-undang Allah itu didaulatkan sehingga menjadi perundangan yang mesti dituruti dan diikuti oleh semua golongan manusia. Firman Allah s.w.t: "Barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah (hukum Allah) Maka sesungguhnya mereka termasuk ke dalam golongan yang fasik." (Al-Maidah : 47) 

"Barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah (hukum Allah) Maka sesungguhnya mereka termasuk ke dalam golongan yang zalim." (Al-Maidah : 44) 

"Barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah (hukum Allah) Maka sesungguhnya mereka termasuk ke dalam golongan yang kafir." (Al-Maidah : 45) 

Jikalau seseorang menolak hukum Allah kerana jahil atau tidak tahu, maka dia jatuh kepada peringkat fasik. Orang yang sebegini hendaklah diingati dan diajar secara lemah lembut agar mengerti segala peraturan yang ditentukan di dalam Islam. Mereka yang telah mengetahui hukum Islam tetapi masih lagi tidak mengamalkannya mungkin kerana lemahnya iman dan menurut nafsu, maka golongan ini termasuk di dalam mereka yang zalim. Golongan ini perlulah didakwah dan diberi peringatan yang dapat mengajak mereka kepada mengamalkan Islam. Dan akhir sekali mereka yang menolak hukum hakam Allah dengan secara terang, setelah diperingati dan didakwah secara beterusan tetapi masih lagi mahu menolak kebenaran, maka mereka ini termasuk golongan yang kafir yang perlu diperangi samada perang secara fikiran, perang secara siasah, perang di dalam bentuk ekonomi atau perang dengan senjata menurut apa yang diajukan oleh musuh kepada kita. 

Di dalam Al Quran banyak sekali terdapat ayat-ayat Allah tentang jihad di antaranya : "Hai orang-orang yang beriman sukakah kamu aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui." (As Soff : 10-11) 


"Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al Baqarah : 216) 


"Kerana itu, hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, berperang dijalan Allah. Barangsiapa yang berperang dijalan Allah, lalu gugur atau memperolehi kemenangan, maka kelak kami akan berikan kepadanya pahala yang besar." (An Nisa' : 74) 


"Dan janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur dijalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." (Ali Imran : 169) 


"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh." (As Saf : 4) 


Untuk memahami secara lebih mendalam tentang Jihad ini, Imam Ibn Qayyim menulis di dalam bukunya "Zad Al-Ma'ad" bahawa jihad itu ada 13 bahagian dan dikumpulkan ke dalam 4 kumpulan : 

Jihadun Nafs 
Ia adalah satu peringkat di mana individu muslim itu mendidik dirinya sendiri untuk menghadapi masyarakat. Jihadun Nafs ini terbahagi kepada 4 bahagian : 

Mempelajari Islam dan segala ilmu yang berkaitan dengannya. 
Setelah dipelajari dengan yakin, maka ilmu itu hendaklah diamalkan. 
Setelah diamalkan maka hendaklah disebarkan ke tengah masyarakat. 
Hendaklah sabar di dalam menerima kesusahan dan kepayahan berdakwah dan terus menjalankan tugas dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. 
Jihadus Syaitan 
Ia terbahagi kepada 2 bahagian : 

Melawan, menentang dan menghapuskan keraguan dan was-was yang berkaitan dengan keimanan. 
Melawan kemahuan dan keinginan nafsu daripada melakukan maksiat dan mungkar serta mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah seperti mengumpat, mengkeji dan sebagainya.
Jihadul Ashabu Zulm (Jihad menentang orang-orang yang zalim) 
Ia terbahagi kepada 3 peringkat : 

Jikalau kita mempunyai kuasa, maka ubahlah mereka dengan kekuatan dan undang-undang serta kasih sayang. 
Sekiranya kekuasaan tidak ada ditangan, maka hendaklah memperkatakan kebenaran itu dengan lisan. 
Sekiranya tidak mampu maka bencilah kemungkaran itu dengan hati. 
Jihadul Kuffar (berjuang melawan mereka yang kafir) 
Terdapat 4 peringkat iaitu : hati, lidah, harta dan jiwa . Jihadul kuffar itu apabila telah sampai masanya hendaklah dengan kekuasaan dan berjuang dengan apa yang mereka ajukan kepada kita. Ekonomi dengan ekonomi, pendidikan dengan pendidikan, siasah dengan siasah dan kekuatan dengan kekuatan. Bagi para munafik pula, hendaklah memperkatakan kebenaran dengan lidah dan memberikan ancaman Allah bagi mereka yang berpura-pura mengamalkan agama Allah. 

Jihad Fi Sabilillah adalah satu proses yang berterusan bermula daripada diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat di dalam semua aspek kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, ketenteraan, kehakiman dan sebagainya. Selain daripada itu di dalam memperjuangkan Islam perlu ada peraturan dan strategi agar perjuangan itu teratur dan tersusun. Di dalam hal ini, perlunya perjuangan Islam itu dibentuk dengan jamaah atau harakah muslimin yang mengamalkan Islam di seluruh aspek kehidupan agar dapat menjadi model kepada masyarakat. 

No comments:

Post a Comment